Sejarah kemunculan nasyid di Malaysia
Irama nasyid sudah dikenali di Malaysia sejak munculnya kumpulan-kumpulan seperti Al-Jawaher, El-Suraya, Al-Mizan, Orkes Sinar Murni dan seumpamanya yang kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita. Perkembangan itu juga selari dengan munculnya kumpulan-kumpulan nasyid yang bergerak secara ‘indie’ atau ‘underground’ yang dipelopori oleh Jemaah Al-Arqam dalam era tahun 80-an.
Akhirnya, kewujudan genre yang bermatlamat murni ini mula disedari masyarakat umum secara total apabila Raihan menjengah dunia komersial industri muzik tanahair dengan album pertama mereka Puji-pujian yang mendapat sambutan luar biasa sehingga tercatit di dalam Malaysia Books of Records sebagai album paling laris jualannya yang masih belum dapat dipecahkan oleh sesiapa pun artis di Malaysia hatta Mawi sekalipun. Unit jualan yang dicatatkan pada ketika itu adalah 600,000 unit dan tidak mustahil, sehingga kini sudah mencecah 1 juta unit.
Faktor Ikhlas sebagai X-Factor
Apabila kita mengkaji dan menilai, bertanya dan mempersoal, apakah ciri-ciri kejayaan jualan tersebut, banyak faktor yang kita boleh catitkan antaranya kelainan, pembaharuan, kontroversi, lagu yang menarik, melodi yang easy-listening dan banyak lagi. Namun hakikatnya, disebalik faktor-faktor fizikal tersebut, terdapat satu faktor besar yang kurang mendapat perhatian umum kerana sifatnya yang tidak nyata iaitu IKHLAS. Sifat Ikhlas diibaratkan seekor semut hitam, yang berjalan di atas batu yang hitam dalam gua yang gelap dalam malam yang gelap pekat. Mengapa sifat ikhlas yang dibangkitkan sebagai salah satu faktor kejayaan Raihan sekiranya sifat itu diibaratkan sebagai satu yang sangat sukar dilihat? Di sini dihuraikan falsafahnya.
Kumpulan Raihan
Raihan adalah kumpulan nasyid pertama yang cuba keluar dengan album dalam dunia komersial tanpa ada sebarang rujukan tentang jualannya, sambutannya, konsepnya, adakah mereka akan diterima atau pelbagai persoalan lagi. Namun, mereka mengambil risiko ini untuk menjadi perintis kepada memperkenalkan irama ini kepada ruang lingkup yang lebih luas lagi. Adakah sewaktu mereka bergerak secara underground mereka tidak ikhlas? Bukan ini persoalannya, zaman underground sudah pasti mereka ikhlas dan tujuan utamanya adalah tetap berdakwah. Mungkin kalau kita kaji jualan album underground mereka pun jualannya tidak mustahil sudah mencecah jutaan unit semuanya. Apa yang ingin kita bincangkan di sini ialah dunia nasyid pasca komersial. Maka muncullah mereka dengan sebuah album yang menggunakan konsep perkusi semata-mata.
“By Allah’s Will”
Kalau kita kaji dengan logik akal, seperti mana yang penasyid-penasyid kini sering hujjahkan, jika kita ingin menarik kumpulan pendengar yang lebih luas, kita perlu mengikut arus muzik semasa, maka jelaslah teori itu langsung tidak dipraktikkan oleh Raihan pada ketika itu kerana muncul dengan muzik yang boleh dianggap outdated oleh kita sekarang. Kenapa dengan menggunakan teori yang salah, namun hasil kejayaan Raihan tercatit dalam sejarah? Sehingga dengan muzik outdated itu, mereka diperkatakan sehingga keluar Negara? Sehingga berita mengenai mereka muncul di dalam berita-berita televisyen dan akhbar luar Negara? Sehingga Prince Charles ingin menyaksikan persembahan mereka? Di sini bermulalah kupasan isu antara populariti dan prinsip. Dapatlah kita simpulkan di sini, sebagai Muslim dan Mukmin, kita tidak boleh berpegang dan yakin dengan teori logik akal semata-mata tanpa meletakkan kehendak Allah, keizinanannya dan Kuasanya yang menentukan natijah kerja dan usaha kita. Teringat penulis seorang pensyarah Biologi di Pusat Matrikulasi yang mewajibkan pelajar meletakkan ayat “by Allah’s will” dalam setiap jawapan teori-teori biologi yang dipelajari ketika itu. Di sinilah prinsip pertama kita sebagai penasyid yang membezakan kita dengan prinsip artis biasa yang selalunya diwajibkan oleh production house; wajah yang menarik, muzik dan lagu yang sedap, bakat yang ada walaupun sedikit.
Perbetulkan niat dan keyakinan pada kehendak Allah
Kembali kepada topik, hakikatnya album yang dikeluarkan Raihan pada ketika itu, jelaslah mendapat sambutan dengan sebab utamanya keizinan dan kekuasaan Allah yang menentukannya. Bertitik-tolak dari keikhlasan mereka, mereka menyerahkan segalanya pada Kekuasaan Allah, bukan pada teori dan logik akal dan nafsu. Hati-hati manusia di gerakkan oleh Allah, keinginan mereka membeli album ini, digerakkan oleh Allah, liputan media yang meluas ditentukan oleh Allah, Allah membuka hati ramai orang untuk melihat dan mendengar hasil kerja mereka ini. Hatta beberapa non-Muslim yang akhirnya memeluk Islam asbab mendengar lagu Raihan juga dibuka hati mereka oleh Allah. Sehinggakan non-muslim dari luar Negara yang tidak faham bahasa melayu, ada yang memeluk Islam mendengar lagu Raihan yang mereka tidak faham sepatah pun, juga kerana kekuasaan Allah yang membuka hati mereka.
Maka, kesimpulannya, sebelum seseorang penasyid, ingin keluar dengan album baru dan mengakui diri mereka sebagai pendakwah, menjadi kewajipan kepada mereka untuk berniat, sebagaimana kita memulakan sesuatu ibadah dengan niat, hendak solat kita berniat, hendak puasa kita berniat, hendak berdakwah melalui nasyid kita mulakan juga dengan niat; NIAT YANG IKHLAS untuk berdakwah kepada Allah. Namun hakikatnya tentu sukar untuk penasyid-penasyid menanam niat yang ikhlas hatta penulis sendiri sekalipun. Kenapa? Kerana kita semua sudah ada rujukan tentang kejayaan Raihan. Bukan mempertikaikan niat semua penasyid, tapi untuk kita berusaha memperbaharui niat kita. Sekurang-kurangnya, penasyid kedua, ketiga, keempat, kesepuluh, kelimapuluh dan seterusnya, pasti jika tidak banyak, sedikit terganggu niat mereka apabila melihat kejayaan Album Raihan dijual 600,000 unit dengan royalty mereka yang membolehkan mereka membeli rumah dan hidup selesa, dengan popularity mereka, yang disanjung dan muncul dalam media TV dan akhbar setiap masa, dengan sesetengah peminat yang tidak mengawal diri menyanjung dan memuja mereka. Pasti terdetik dalam hati, ingin kaya seperti mereka, ingin popular seperti mereka, ingin disanjung seperti mereka dan sebagainya. Namun inilah sebenarnya cabaran hebat bagi mereka yang ingin menjadi pendakwah dalam bidang ini. Hatta kepada Raihan sendiri, mungkin terganggu dengan faktor-faktor ini untuk album-album mereka yang seterusnya.
Penasyid harus memusatkan niat mereka untuk berdakwah melalui nasyid yang bakal mereka bawa. Penasyid harus meletakkan keyakinan mereka pada kehendak Allah dan bantuannya sehingga ke tahap sekiranya mereka meletakkan satu album yang tidak sedap lagunya, tidak hebat vokalnya, tidak up-to-date muziknya, tidak menarik wajahnya di pasaran, namun niat mereka Ikhlas kerana Allah, album itu mampu untuk meletup atas kehendak dan kekuasaan Allah yang hanya mengatakan “Kun fayakun”. Bukanlah tujuan penulis untuk menggalakkan hasil produksi yang tak berkualiti. Membuat kerja yang terbaik dan menghasilkan suatu yang terbaik adalah sangat digalakkan dalam Islam, Cuma ingin dihuraikan disini teori niat dan yakin pada kehendak Allah. Lebih cantik lagi sekiranya penasyid tersebut membuat satu album yang terbaik kualitinya dan beri’tikad dengan kualiti niat yang terbaik. Kita sebagai penasyid dan mungkin bakal penasyid, termasuk penulis sendiri, marilah kita renung jauh ke dalam diri kita sendiri, dalam 100% pecahan niat kita berapa peratuskah hakikatnya kita peruntukkan untuk menjadikan kerja kita ini sebagai dakwah. Sekiranya kita buatkan carta pai mungkinkah 10% untuk dakwah, 30% untuk duit, 40% kerana minat muzik, 20% kerana ingin popular dan disanjung. Atau banyak lagi pecahannya. Cuba kita renungkan secara telus dan amanah kepada diri kita sendiri, bagaimana pecahan peratusan kita? Atau mungkinkah 70% untuk popularity, atau 100% untuk wang, atau 100% kerana Allah, jika ada Alhamdulillah.
Renungkanlah sejenak untuk kebaikan diri kita sendiri, dan kebaikan genre nasyid tanahair yang kian suram dan tidak efektif dewasa ini.
Nasyid bukan dakwah?
Nasyid memang sebenar-benarnya salah satu cabang dakwah. Salahlah bagi mereka yang mengatakan nasyid hanya satu jenis hiburan alternatif, dan tidak boleh dikaitkan dengan dakwah. Jika bukan dakwah, apa yang kita nak katakan dengan peristiwa bukan Islam yang memeluk Islam mendengar lagu Nasyid? Kalau bukan Islam sehingga memeluk Islam kesannya, tentu lebih banyak lagi kesan dakwah nasyid yang dapat dirasakan oleh orang Islam sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini, nasyid seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada pendengar-pendengarnya sendiri apalagi untuk pendengar-pendengar asing dari dunia yang tidak mengenali nasyid.
Penulis sering mengaitkan dengan konsep dakwah mengikut zaman. Seperti contoh yang kita dapat lihat dalam sejarah, Nabi Daud di beri mukjizat oleh Allah melembutkan besi dalam zamannya yang popular dengan pertukangan besi, Nabi Musa diberikan mukjizat-mukjizat ibarat ahli sihir, untuk menewaskan ahli sihir firaun yang mana pada zamannya, sihir adalah satu kehebatan besar, Nabi kita Nabi Muhammad sendiri, diberikan Allah mukjizat Al-Quran yang indah bait-bait bahasanya di dalam zamannya yang mengagungkan syair-syair, yang mana keindahan Al-Quran itu tidak terjangkau hebatnya untuk ditiru dan dikalahkan oleh penyair-penyair arab pada ketika itu. Semua mukjizat-mukjizat ini dicipta Allah untuk nabi-nabi ini bagi menarik masyarakat mengikut minat dan budaya mereka, untuk ‘impress’ mereka dengan kehebatan mukjizat ini sesuai dengan zaman dan budaya masyarakat mereka. Maka apakah antara yang dipuja dan mendapat tempat utama dalam masyarakat kita dizaman ini? Sudah pasti HIBURAN. Justeru, satu peranan besar untuk penasyid-penasyid ini menjadikan hiburan yakni lagu sebagai alat atau wadah dakwah mereka, selain ulama-ulama melalui ceramah dan ilmu mereka, penulis-penulis melalui penulisan mereka, dan seumpamanya.
Kembali kepada niat, maka untuk menjadikan wadah ini benar-benar berkesan, maka niat kita semua harus disemak dan diperbaharui. Kerana iman manusia ini ‘yazid wa yanqus’ bertambah dan berkurang. Kita perlu ingat, apa yang kita lakukan dari hati pasti kan jatuh ke hati. Itulah sepatutnya yang berlaku kepada lagu-lagu nasyid yang menjadi wadah dakwah kita ini. Marilah kita sama-sama cuba pastikan nyanyian nasyid kita, benar-benar datang dari hati yang ikhlas untuk kita tempat kan pula di dalam hati pendengar lagu tersebut agar memberi kesan kepada mereka. Bermula dari niat kita, pembikinan album, rakaman lagu di studio, pemilihan lirik dan lagu, susunan muzik, sekecil-kecil perkara pun harus di ambil berat sekiranya boleh membantu memfokuskan niat kita, umpama berwudhu sebelum rakaman, solat hajat, menghadap kiblat, berdoa sebelum rakaman dan seumpamanya. Kerana pernah dalam Islam sekecil-kecil amalan bersugi pun mampu mempengaruhi natijah usaha kita, sekecil-kecil rengangan dalam saf pun, mampu menewaskan kita dalam peperangan besar, maka dalam usaha dakwah kita, sekecil-kecil amalan pun perlu kita titik beratkan agar natijah lagu kita tidak mampu menjadi asbab hidayah kepada pendengarnya.
No comments:
Post a Comment