Friday, April 23, 2010

CINTA : Perang Iman dan Nafsu

               Perkataan cinta bukanlah sesuatu yang asing di kalangan kita kini, tidak kira samada tua mahupun muda sehinggalah kanak-kanak yang belum mumayyiz. Mengapa saya katakan demikian? Jawapannya sudah terpampang di depan mata kita semua. Namun definisi cinta sebenarnya terlalu luas. Menurut kamus dewan edisi ke4, terdapat 4 pengertian :

               1) Perasaan / berperasaan sangat sayang kepada negara,orang tua,kebebasan dll.
               2) Perasaan / berperasaan sangat berahi (asyik,kasih,sayang) antara lelaki dan perempuan.
               3) Menurut sastera lama, perasaan / berperasaan dukacita (risau,bimbang,sedih,dll).
               4) Perasaan / berperasaan ingin akan sesuatu,rindu.
             
              Pengertian cinta yang dimaksudkan di sini ialah pengertian cinta yang ke-2 di atas. Dalam membicarakan soal cinta, ramai orang yang menyalah tafsirkannya. Ada yang mengatakan cinta ini sekadar untuk bersuka ria antara lelaki dan perempuan dengan mengenepikan batas syariat Allah. Dek kerana itulah terjadinya gejala-gejala yang kurang sihat seperti zina,buang anak dan sebagainya. Fenomena yang terjadi ini berpunca daripada kurangnya didikan agama dalam diri mereka yang terlibat. Namun,perkara yang amat dikesali ialah bila mana golongan yang beragama juga turut sama terjebak dalam masalah ini.

             Sebenarnya cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah salah kerana ia merupakan fitrah semulajadi kejadian manusia yang mana lelaki dan perempuan saling memerlukan.
Firman Allah s.w.t :

يا أيها الناس اتقوا ربكم الذى خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبث منها رجالا كثيرا ونساء

واتقوا الله الذى تساءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا

“ Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari
diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya,
dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.
Bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta ,
dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu
menjaga dan mengawasimu.” ( Surah An-Nisa’ ayat 1 )

Firman Allah s.w.t lagi :

ومن كل شيء خلقنا زوجين لعلكم تذكرون

“ Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan supaya kamu mengingati
kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami” ( Surah Al-Dhariyat ayat 49 )

                 Ayat ini jelas membuktikan bahawa dua jantina ini diciptakan bukan untuk bersendiri di atas muka bumi ini bahkan secara berpasang-pasangan samada manusia mahupun haiwan. Oleh itu,cinta adalah suatu wasilah bagi menyatukan hati antara kaum Adam dan kaum Hawa. Namun apa yang membezakannya ialah pengaplikasiannya dalam menterjemahkan erti cinta menurut Islam. Merujuk kepada Fiqh Munakahat, banyak dimanifestasikan cara-cara yang betul bagi menuju ke gerbang perkahwinan. Bermula dari sudut permulaan perkenalan hinggalah ke akhirnya. Amatlah malang bagi sesiapa yang tidak menurut perintah Allah kerana mengundang kemurkaanNya dan berani mengingkari laranganNya.

Cinta terbahagi kepada 2 :
          1) Cinta sebelum kahwin
          2) Cinta selepas kahwin

Pelbagai persoalan yang timbul mengenai cinta sebelum kahwin, adakah ia dihalalkan ataupun sebaliknya. Cinta sebelum kahwin boleh juga diklasifikasikan sebagai cinta monyet. Istilah tersebut bermaksud cinta yang sementara dan tidak serius. Perkara inilah yang ingin dibicarakan, samada pengaplikasiannya itu berpandukan iman ataupun nafsu. Walaupun sesetengah pasangan mengatakan perhubungan mereka berlandaskan iman, namun janganlah kita lupa bahawa musuh manusia sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan anak Adam. Nabi Adam sendiri tercampak ke muka bumi kerana termakan pujukan Hawa yang menggugat keimanannya. Apatah lagi kita selaku insan biasa yang tiada keistimewaan sedikit pun, teramatlah lemah dalam mengemudikan hati yang belum tentu status kesuciannya. Tambahan pula iman umat Islam di akhir zaman ini senipis kulit bawang. Bayangkanlah teman-teman, tebal mana sangatlah kulit bawang jika nak dibandingkan, tidak sampai 1 inci pun. Jadi, adakah kita mampu menjamin bahawa hati kita ini tidak akan tergugat dengan godaan-godaan yang cuba dilakukan oleh makhluk laknatullah.

             Dalam konteks masyarakat yang diseliputi dengan teknologi-teknologi canggih sebagai kemudahan bagi menjalinkan perhubungan, cinta sebelum kahwin dianggap sebagai 1 langkah perkenalan untuk menelusuri alam perkahwinan di kemudian harinya. Tanpa disedari, saluran yang digunakan itu tidak bertepatan dengan apa yang telah diajarkan Nabi Muhammad s.a.w. Mungkin pada awalnya perhubungan itu didasari dengan niat sebagai kawan antara lelaki dan perempuan tetapi sedar atau tidak, niat tersebut boleh bertukar daripada seorang kawan kepada lebih dari seorang kawan. Kemudian tercetuslah bibit-bibit cinta yang merupakan salah satu agenda syaitan dalam melihat kebinasaan umat manusia.

            Cuba kita perhatikan anak-anak remaja kini, berapa ramai yang berjaya mengakhiri percintaan mereka hingga ke jinjang pelamin dan aman damai sehingga akhir hayat. Segelintir sahaja yang mampu sampai tahap tersebut. Selebihnya ramai yang kecundang di pertengahan jalan disebabkan cinta berdasarkan nafsu. Ada yang sanggup mengingkari perintah Pemilik hati manusia dengan berjalan sambil berpegang tangan, bercumbu-cumbuan dan sebagainya. Apa yang lebih dikesali, ada pasangan yang belajar ilmu agama dan bertudung turut terpedaya dengan hasutan syaitan walaupun perkara ini jelas disebut dalam Al-Quran. Firman Allah s.w.t :

ولا تقربوا الزنى إنه كان فاحشة وساء سبيلا

“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, (zina) itu sungguh suatu
perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”
( Surah Al-Isra’ ayat 32)

                 Menyebut tentang zina, sememangnya ia suatu perbuatan yang keji dan terkutuk di sisi Allah. Dan ini jelas dinyatakan oleh Allah dalam ayat di atas. Bahkan si pelaku juga dilihat hina di mata masyarakat. Jika dilihat pada ayat yang dinyatakan di atas, mengapa Allah tidak mengatakan “janganlah kamu berzina”? Akan tetapi Allah menggunakan ayat janganlah kamu MENGHAMPIRI zina. Di sini menunjukkan bahawa seseorang itu ada pendorongnya yang menyebabkannya terjerumus ke kancah penzinaan. Zina tidak akan terjadi tanpa ada elemen yang menjurus ke arahnya. Perlu diketahui bahawa zina sebenarnya terdapat 2 kategori, iaitu zina zahiriah dan zina batiniah. Zina zahiriah ialah persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang tiada sebarang ikatan perkahwinan dan ia disengajakan. Kategori ini dikenakan hukuman sebat sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

“ Pezina perempuan dan pezina lelaki, deralah masing-masing dari keduanya
seratus kali, dan janganlah rasa belas kasihan kepada keduanya mencegah
kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada
Allah dan hari kemudian, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka
disaksikan oleh sebahagian orang-orang beriman.” ( Surah An-Nur ayat 2 )

             Manakala zina batiniah tiada hukuman duniawi yang dikenakan ke atas individu yang terlibat. Bagi lebih jelas lagi mengenai pengertian zina batiniah, saya akan cuba merungkaikan serba sedikit mengenainya.


ZINA BATINIAH

             Zina batiniah ialah zina hati,mata,telinga dan selainnya yang melibatkan pancaindera. Baiklah,sekarang saya akan memperincikan pengertiannya satu demi satu.

            1) Zina hati :
            Bererti suatu cetusan perasaan rindu antara berlainan jenis (non-muhrim) dengan penuh syahwat sehingga melebihi dan melupai Allah dan RasulNya. Ditambah lagi jika sekiranya hati berangan-angan dan membayangkan zina dengan seseorang.

            2) Zina mata :
           Melihat sesuatu perkara yang haram. Haramnya melihat sesuatu perkara itu boleh dilihat dari 2 konteks yang berbeza iaitu : 1) Haram secara mutlak 2) Asalnya harus, tetapi bertukar menjadi haram.

           Perkara yang haram dilihat secara mutlak sebagaimana yang telah termaktub di dalam kitab suci Al-Quran. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan
kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka,
atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka
yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-
perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang
telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti
lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui
orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian
kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”. ( Surah An-Nur ayat 31 )

              Berpandukan ayat di atas, jelas menunjukkan seorang wanita haram memperlihatkan aurat mereka kepada non-muhrim, begitu juga seorang lelaki haram melihat aurat wanita.

              Manakala pandangan mata yang asalnya harus, tetapi berubah menjadi haram ialah apabila perkara yang harus dilihat umpama melihat seorang yang non-muhrim secara kebetulan. Namun hukum harus tersebut boleh bertukar menjadi haram apabila pandangan tersebut diulangi dan boleh merangsang nafsu berahi serta syahwat seseorang. Perkara ini banyak terjadi di kalangan anak-anak remaja kini . Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“ Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis ”

                 Kerana itulah Allah menegaskan kepada kita supaya memelihara mata agar terhindar daripada perkara-perkara yang mendekatkan diri ke arah kancah kemaksiatan.

                Di sini saya hanya datangkan 2 pengertian zina batiniah iaitu zina hati dan mata kerana kebiasaannya yang berlaku berlegar di sekitar 2 anggota ini. Walaupun di sana terdapat zina batiniah yang masih belum diperjelaskan namun saya merasakan sudah memadai dengan penjelasan terhadap 2 bahagian ini. Lazimnya orang akan berkata “dari mata jatuh ke hati”. Kata-kata inilah yang menjadi pendorong kepada masyarakat sekarang untuk tidak membatasi pandangan mata mereka. Maka dari itu, timbulnya perasaan ingin berkenal-kenalan dan dalam tempoh tersebut bermacam-macam adegan boleh berlaku samada baik mahupun buruk. Semuanya tertakluk kepada kekentalan iman seseorang.


CINTA TERLARANG


                  Adakah Islam melarang umatnya bercinta? Di manakah dalil yang membuktikan pengharamannya? Hakikatnya Islam tidak melarang umatnya bercinta dan tiada dalil yang mengharamkannya. Bahkan Nabi Muhammad pun bercinta dengan para isteri Baginda. Hukumnya adalah harus, tetapi ia boleh berubah menjadi haram dan terlarang bila mana ada kemudharatan yang menimpanya akibat bercinta. Kemudharatan yang dimaksudkan ialah terjerumus ke lembah kebinasaan. Punca kebinasaan seperti mana yang telah disebutkan sebelum ini iaitu melalui zina batiniah ( perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada zina ) dan juga boleh mendatangkan fitnah.

                 Dalam situasi sekarang, ramai pasangan yang bercinta atau dalam istilah lain disebut bercouple berada dalam golongan yang bercinta namun terlarang. Mereka menjadikan perhubungan mereka sebagai satu lesen untuk melonggarkan perintah Allah. Memang ramai couple yang mengatakan pada awalnya “insyaAllah kami akan menjaga hubungan kami dan menjaga batas-batas yang telah disyariatkan Allah”. Namun ketika itu lidah mengatasi iman, maka perkara masa akan datang tidak difikirkan. Persoalannya kini, adakah kita mampu menangkis godaan syaitan sedangkan iman kita tidak seteguh Rabiatul Adawiyah, Nabi Yusuf dan selainnya? Saya merasakan kita semua tidak mampu berbuat demikian melainkan dengan meletakkan Allah di hadapan. Apabila Allah diberikan keutamaan melebihi makhluk yang lain, nescaya tidak akan berlaku cinta terlarang.

                Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk pengajaran daripada Al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud :

Demikianlah supaya Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian".
Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba Kami yang terpilih”. ( Surah Yusuf ayat 24 )

Demikian juga penyakit rindu ada ubatnya iaitu :

      1) Ikhlas kepada Allah : Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon keampunan daripada Allah. Seandainya kita ikhlas kepada Allah, pasti Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara yang tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan : “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepadaNya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya”.

     2) Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah : Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang paling agung. Saat kita dalam kebuntuan atau dalam kesempitan, doa yang ditadahi memohon pertolongan Allah membuatkan diri terasa hampir denganNya. Kepada Allah sahajalah tempat segala permasalahan diluahkan dan tempat merayu yang paling tepat.

    3) Mengurus mata dan pandangan : Pandangan yang berulang kali adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang sepintas lalu jarang berasakan hatinya terusik dan jatuh. Ibnu Qayyim menyatakan : “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terajuk ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi dirinya sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya”.

     4) Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang dikagumi. Walhal pernikahan dengan orang yang tidak dicintai dan diidamkan namun sekiranya keputusan itu berdasarkan ilham dari solat istikharah lebih bahagia berbanding dengan pilihan berpandukan nafsu semata-mata.

           Cinta, jodoh dan perkahwinan fitrah kejadian manusia. Namun mengapa kita kita sanggup mencari risiko dengan mengundang kemurkaan Sang Pencinta semata-mata demi memuaskan hawa nafsu? Tidakkah ia boleh dijauhi dengan menjadikan iman perisai perlindungan? Ingat !!! Segala ketentuan terletak dalam pengetahuanNya, oleh itu biarlah segala urusan bertunjangkan petunjuk daripadaNya.

1 comment:

  1. salam..ana mohon artikel ini untuk blog ana..maaf dan terimas..ad mase follow ana ye..

    ReplyDelete