Sunday, May 2, 2010

Di Sebalik "Denyut Kasih Medik"

                  Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Rabbul Izzati yang mengurniakan kepadaku 2 nikmat yang terbesar iaitu nikmat IMAN dan ISLAM. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad dan keluarga Baginda serta para sahabat.

                  Seusai menamatkan pembacaan novel yang berjudul "Denyut Kasih Medik", terdetik di hati ini suatu perasaan yang luar biasa. Seolah-olah ia memberi nafas baru dan suntikan yang berkesan. Terasa diri ini ingin menjejaki kehidupan yang penuh ketaqwaan oleh Dr. Muslih (watak utama). Novel ini hasil karangan seorang doktor dan juga pendamping hidup kepada seorang novelis islami iaitu Ukhti Fatimah Syarha binti Nordin. Pengarang tersebut bernama Doktor Farhan Hadi. Baru diterbitkan sekitar bulan Februari 2010 oleh Telaga Biru Sdn Bhd.

               Novel ini mengisahkan seorang doktor pelatih (houseman), Dr. Muslih yang berhasrat menegakkan syariat Islam di mana jua beliau berada. Kerjayanya selaku doktor bukanlah senang dan memerlukan banyak kesabaran. Namun, beliau tetap bersabar melaksanakannya di samping beliau tidak melupakan amanahnya selaku khalifah di atas muka bumi ini. Tugas seorang doktor sememangnya mulia kerana dapat membantu sesiapa sahaja yang menghadapi kesakitan. Pelbagai kesukaran yang dihadapinya untuk melihat syiar Islam dapat diaplikasikan di dalam sebuah bangunan yang berfungsi sebagai pusat rawatan di mana merupakan tempat beliau bertugas.

           Baginya tugas amar ma'ruf nahi mungkar tidak boleh dipisahkan hanya kerana tugasnya. Alangkah bagusnya jika setiap doktor muslim di Malaysia ini mencontohi beliau. Para pesakit beliau sering diberi nasihat supaya tiang agama tidak ditinggalkan walau sakit sekalipun. Pun begitu, ramai di kalangan pesakit yang beragama Islam memberikan pelbagai alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab terhadap Penciptanya kerana kurang pemahaman agama.

               Beliau juga diuji dengan kerenah doktor-doktor pakar yang tidak mengambil berat perihal halal haram dalam perubatan. Atas kesedaran Dr. Muslih, beliau segera bertindak agar perkara tersebut tidak berlanjutan dibiarkan.

              Novel ini juga membicarakan Fiqh Perubatan, Fiqh Wanita dan Fiqh Cinta. Menariknya novel ini kerana terkandung di dalamnya info-info pengetahuan di samping penceritaan tentang kehidupan seorang doktor. Terdapat ilmu-ilmu dan dalil-dalil berkenaan masalah yang banyak berlaku di bidang perubatan yang boleh diperolehi, bukan sekadar cerita semata-mata. Berbeza dengan novel-novel yang lain.

             Salah satu permasalahan yang diketengahkan dalam novel ini ialah Fiqh Wanita. Menurut penceritaan yang disampaikan, ramai wanita Islam yang masih keliru berkaitan masalah haid,istihadhah dan nifas. Begitulah suasana masyarakat Islam di Malaysia ini. Suasana tersebut sememangnya terjadi di negara ini yang kononnya sebuah negara Islam.

             Selain itu, novel ini juga tidak ketinggalan membicarakan soal cinta. Isu yang hangat di kalangan para remaja kini. Alangkah indahnya, pernikahan jika dimulai dengan perkenalan yang diberkati seperti yang diceritakan dalam kisah ini. Pernikahan antara Dr. Muslih dan Qaniah yang hanya menggunakan orang tengah yang soleh kemudiannya berbekalkan ilham dari Ilahi hasil solat istikharah, Dr. Muslih terus yakin untuk menjadikan Qaniah sebagai permaisuri hati. Tanpa sebarang pertemuan mahupun perbualan mesra sepanjang tempoh pertunangan, akhirnya menghasilkan sebuah rumah tangga yang diberkati. Nikmatnya percintaan bersulamkan keimanan. Nikmatilah satu kisah indah yang cukup membina, Denyut kasih medik.