Friday, July 31, 2009

Cuti yang terisi



Adik2 yang semangat bersukan

Alhamdulillah,walaupun sekarang saya cuti sem namun kekosongan tersebut tidak sia2. Bermula Khamis hingga Sabtu baru2 nie saya telah ditugaskan sebagai ajk disiplin program Kem Pimpin. Sedap jugak laa walaupun letih sikit tapi yang penting khidmat perlu sentiasa dihulurkan. Main dengan adik2 (pelajar sekolah rendah) nie memang banyak kerenah,nak kena ajar itulah inilah. Sepanjang program nie saya bersama kawan boleh katakan tiap2 masa bersama adik2 coz kitorang perlu memastikan diorang masuk program tepat pada masanya disamping mengambil tahu kesihatan diorang. Pada peringkat begini asuhan terhadap mereka tidaklah begitu susah jika nak dibandingkan dengan peringkat remaja yang bermacam-macam kerenah serta kuat terpengaruh. Tapi dari sudut ibadat diorang masih banyak perlu dibimbing terumata ibubapa diorang. Semasa memantau solat berjemaah adik2 nie ada jugak yang masih terhegeh-hegeh walaupun imam dah nak rukuk. Bila imam dah rukuk mulalah tertinggal 1 rakaat,lepas tue terkejar-kejar supaya solat habis sama dengan imam biarpun dalam rakaat kedua tak ikut imam..kelakar pulak rasanya bila teringat gelagat adik2 nie..Dalam program nie jugak terdapat slot motivasi yang dikendalikan oleh seorang cikgu (terlupa namanya,hihi) berkisarkan kehidupan insan selaku pemimpin dan selaku seorang anak. Ramai di kalangan adik2 yang menangis kerana insaf melihat tayangan dan mendengar motivasi tersebut. Alangkh lembutnya hati kanak2 yang masih suci dari sebarang kekotoran. Harap2 mereka dapat mengambil iktibar dari motivasi tersebut. Pada hari ketiga diadakan Night Walk, semua peserta berjalan dalam keadaan mata tertutup dan dikehendaki merentasi beberapa checkpoint. Dalam setiap checkpoint terdapat modul antaranya peserta dikehendaki menunjukkan cara bertayammum,sekiranya gagal semua ahli kumpulan akan menerima kafarahnya iaitu masker semulajadi (tepung). Ada jugak yang dipermainkan oleh pihak ikhwah yang memang itulah kerja diorang,biasalah dasar x ada kerja..kikiki..itulah sedikit sebanyak tentang Kem Pimpin.

Selesai jer program tesebut,beberapa senior ajak join diorang backup untuk jadi fc bagi program Kem Pelajar Rabbani anjuran MDQ. Mula2 segan jugak coz ingat lepas program tue ada pulak program lain anjuran yang sama. Malu laa eden,mesti penganjur kata orang yang sama tapi
x kisahlah asalkan cuti nie terisi...hehe..Setibanya di tempat program di Taman Pertanian Sekayu kami diarahkan untuk mengendalikan peserta yang mana tahap disiplin mereka kurang memuaskan. Hanya Allah jer yang tahu betapa terujinya kami ketika itu bila mana para peserta yang tidak mengira usia tanpa segan silu menunjukkan belang mereka kepada kami. 'Ala kulli hal,kami tabahkan hati kami demi mendidik adik2 kami yang telah kami tinggalkan. Satu perkara yang saya dan teman2 lain cukup terkejut dengan perangai peserta perempuan ialah sikap hyper aktif mereka dari sudut percakapan dan lain2 lagi yang mengatasi peserta lelaki. Saya merasa cukup sedih melihat keadaan mereka yang sebenarnya amat2 memerlukan sokongan dan bimbingan dari orang di sekeliling untuk mereka melakukan perubahan. Pada Malam Keinsafan yang diadakan pada malam program yang berlangsung selama 1 hari setengah, ramai di kalangan peserta perempuan yang langsung tidak menggunakan kesempatan ini untuk mereka memuhasabah diri mereka. Alangkah kecewa dan sedihnya hati ini bila melihat keadaan mereka yang boleh diibaratkan kerasnya batu yang dilemparkan ke dinding. Batu tersebut tidak berubah sedikit pun walaupun dilontarkan pada permukaan yang keras juga. Namun di saat itu,saya hanya mampu berdoa agar mereka diberi petunjuk Ilahi untuk melakukan perubahan. Saya bermonolog sendirian "Mungkin jugak ianya terjadi dek kerana saya tak membimbing mereka dengan baik sebelum nie. Ya Allah,ampunkan dosa hambaMu ini yang tidak melaksanakan tugas yang telah dipikulkan ke atasku dengan baik"..Kesabaranku teruji sekali lagi bila seorang peserta buat endah tak endah jer bila saya bagi arahan. Oleh kerana nafsu amarah menguasai diri,akhirnya api lava pun meletus. Astaghfirullahal 'azim...Maafkan akak yerk dik..Sebelum program berakhir, kami semua bermandi-manda di Taman Tema atau boleh kata Sunway Lagoon. Selesai semuanya kami pun pulang dengan harapan agar adik2 bisa mematangkan diri dan melakukan perubahan.

Pada hari Selasa pulak saya bersama K. Yang,K. Muni, K. Sumi, K. Hajar, K. Nad dan Puteri (kenalan baru) dijemput untuk menghandle program2 bermodul bagi TAMRIN RABI' THANAWI MDQ. Program tersebut bertujuan memahamkan peserta tentang gerakan Islam yang sebenarnya dan banyak jugaklah. 1 perbezaan yang ketara antara program nie dan program sebelum tamrin nie (Kem Pelajar Harapan). Yelah, masa program KPH tue tiap2 waktu kena hambat peserta supaya masuk program tepat pada waktunya. Tapi dalam tamrin nie,belum suruh lagi diorang dah ada kat tempat program. Hati ini terasa terubat sikit walaupun ada jugak perkara yang tak menyenangkan. Munasabah laa kan dengan situasi diorang yang sememangnya menjadi role model kepada adik2. Segan bangat bila sampai kat tempat program coz peserta-peserta masing-masing mengenali saya. Tambah pulak saya pernah berada bersama-sama mereka masa I'dadie 1 (form 1). Tapi oleh kerana sebab tertentu saya berpisah dengan mereka dan memasuki form lain. Tugas perlu diteruskan jugak atas desakan pihak tertentu. Hari pertama diadakan Perasmian yang dirasmikan oleh Ust Saiful Bahri. Pada asalnya Dato' Harun Taib tapi disebabkan kesibukan, beliau x dapat hadir. Kemudian diteruskan dengan Ta'aruf berkumpulan, nasib malang laa siapa yang mendapat khidmat fc saya..hehe..anyway,tebalkan muka jer..Dalam 3.00 petang diadakan modul Islam Boleh,modul nie menghendaki peserta untuk menyelesaikan misi menawan kembali Negara Islam dan memperkukuhkannya setelah berjaya menawan. Penghulu dan penghuluwati bertindak sebagai PM dan Timb. PM dan dibekalkan dengan kewangan sebanyak 20 juta untuk kedua2 misi tersebut. Setiap nasihat dan masa tambahan yang dimohon akan dikenakan caj. Sebenarnya modul nie nak menguji cara mereka berikhtilat (bergaul) antara pihak muslimin dan muslimat. Selain itu,menguji sejauh mana daya kepimpinan peserta dalam mengatur strategi. Dek kerana masa yang diperuntukkan terlalu singkat agaknya,penghulu yang ditaklifkan sebagai PM terus mengambil jalan membuat perbincangan secara beramai dengan seluruh tenteranya (peserta yang lain). Apa lagi,kena toca laa jawabnya kerana tidak strategik. Alhamdulillah dari sudut ikhtilat mereka masih boleh kawal. Geli hati rasa bila tengok perbincangan diorang yang tergopoh-gapah sekali. Tengah2 perbincangan berlaku gimik, penghuluwati dipecat oleh penasihat (fc) kerana tidak berperanan selaku Timb. PM.

Pada petangnya,agenda yang sepatutnya bagi peserta perempuan ialah kawad tapi ntah macam mana tiba2 bertukar perancangan, dari kawad kaki kepada Jungle Tracking. Dengan perancangan yang tidak teratur dan tambah pulak kami pihak muslimat yang tak tahu menahu pasal perjalanan Jungle Tracking nie terpaksalah akur dengan arahan. Saya bersama 2 orang teman lagi ditugaskan untuk berada di checkpoint 1 dan kitorang kena sampaikan taujihad untuk peserta. Setiba jer peserta lelaki,kami tanpa apa2 persediaan terus melepaskan mereka tanpa memberi sebarang taujihad. Tiba peserta perempuan, K. Sumi minta saya untuk sampaikan taujihad tapi dengan kenakalan saya, K.Sumi pulak jadi mangsa..hehe..

Hari kedua, riadhah bermodulkan Catur Gergasi. Modul nie sedikit memboringkan peserta tapi yang penting motifnya cukup bermakna. Kemudian diteruskan dengan modul Demi Ummah,setiap kumpulan diberi tugas untuk membuat 1 kertas kerja bagi aktiviti yang dirancang mengikut Lajnah masing-masing. Antaranya Lajnah tarbiah,ICT,Kebajikan dan banyak lagi. Ia bertujuan mengembangkan fikiran peserta, tidak hanya tertumpu dalam skop persekolahan semata2. Jam 3.00 petang pula diadakan Talk Show Kemudian after Asar peserta perempuan telah dibasuh minda mereka oleh Timb. fc. Memang betul2 menguji kesabaran peserta,ada yang kena pamping dan banyak lagi kafarah yang diberikan. Di sebelah malam,modul Man Ana. Modul nie memberi peluang kepada mereka untuk merangka masa depan mereka dengan lebih teliti memandangkan mereka kini telah pun menamatkan pengajian mereka di MDQ.

Hari ketiga,jam 3.00 pagi peserta dikumpulkan bagi menjalani slot Night Walk. Slot nie memang mencabar kerana peserta perlu melalui pelbagai rintangan antaranya meredah sungai dengan menutup mata sebanyak 2 kali. Setelah setengah jam peserta dibawa berjalan secara beramai-ramai dalam keadaan mata tertutup, AJK kemudiannya memisahkan mereka. Namun begitu ikatan ukhuwah mereka menyukarkan tugas kami sehinggalah ketua fc mengeluarkan arahan supaya melepaskan tangan kawan. Fuh,bagus betullah..mereka akhirnya dipisahkan dan diletakkan dalam jarak yang agak jauh untuk mereka berinteraksi. Kesempatan nie digunakan untuk mereka berzikir serta muhasabah diri sendiri. Namun begitu ada jugak yang tidur. Selesai solat Subuh dan khidmat diri, kami melakukan gotong-royong. Kemudiannya Majlis Penutup, pembahagian kumpulan, peserta terbaik dan sedikit persembahan dari peserta lelaki. Program berakhir dengan sungguh sayu bila mana tiba 1 slot salam wida' semua peserta terasa hiba kerana mereka bakal berpisah selepas nie. Saya juga turut merasainya bila seorang sahabat lamaku memelukku lantas mengucapkan ucapan yang mengimbas kembali kenangan kami suatu ketika dahulu...huhuhu

Banyak kenangan yang saya akan abadikan sepanjang program berlangsung. Kenangan bersama K. Yang (maaflah selalu menyusahkan k. Yang), K. Muni yang setiap hari kena gigit pacat, K. Hajar yang always hepi, K. Sumi yang banyak posing sepanjang program..hehe, K. Nad yang cool sokmo dan akhir sekali teman baru saya Puteri (moga ukhuwah kita terus berkekalan).

Wednesday, July 22, 2009

Syukur,Alhamdulillah..

Salam pertemuan kembali teman2 ke laman Pena Berlisan. Alhamdulillah,hari ini result dah keluar dan syukur sangat-sangat kerana target yang saya score sebelum ini tercapai. Erm,mungkin hikmah disebalik apa yang berlaku semasa fatrah exam baru ini. Walaupun bermacam dugaan yang menimpa namun Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sungguh tak disangka natijah yang saya perolehi ini,kalau nak ikutkan preparation before exam nampak gaya macam tak dapat jer nak capai score..tapi semuanya dalam ketentuan Ilahi. Kita selaku hambaNya yang lemah hanya mampu berusaha dan berdoa serta tawakal kepadaNya dalam setiap apa yang dilakukan. Apa yang penting i'tiqad kita kepada Allah. Seandainya kita percaya pada perancangan Allah nescaya Allah akan tambahkan keimanan dalam diri hambaNya. Tahniah juga buat teman2 yang lain yang mendapat natijah yang memuaskan dan teruskanlah usaha kalian. Buat teman2 yang kurang berjaya,jadikan kegagalan sebagai pembangkit semangat di masa akan datang. Ingatlah kegagalan sekali tidak bermakna gagal untuk selama-lamanya. So,fighting and cayok!!!

Friday, July 17, 2009

Erti Sebuah Kasih Sayang


Pada suatu hari di sekolah, seorang murid bertanya pada guru.
Ketika itu guru tersebut sedang mengajar mengenai kasih sayang.

Pelajar : "Cikgu,macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang?Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?"

Cikgu : "Ok,kamu ikut apa yang saya suruh. Kamu pergi ke padang, kamu berjalan di atas rumput sambil memandang rumput di depan kamu. Pilih yang PALING CANTIK tanpa menoleh ke belakang walaupun sekali. Dan petik rumput yang PALING CANTIK bawa ke kelas."

Apabila pelajar tersebut pulang ke kelas,tiada sehelai rumput pun di tangannya.
Cikgu bertanya : "Kenapa tiada rumput yang dipilih?

Pelajar : "Tadi masa saya berjalan,saya carilah rumput yang PALING CANTIK. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu suruh petik yang PALING CANTIK,maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang, saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya tadi rumput yang paling cantik tapi cikgu cakap tak boleh toleh ke belakang semula,jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik."

Cikgu : "Ya,itulah jawapannya. Maknanya apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang,janganlah kita mencari yang lebih baik dari itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaiknya. Jangan kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Semoga yang berlalu tidak berulang kembali. Dan ingatlah orang yang paling kita sayang itulah yang paling cantik dan paling baik. Kalau nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi."

Season Fruit

Pasti sahabat semua seronok kan bila tiba season fruit (musim buah)..erm,hati ini terdetik untuk berkongsi pengalaman semasa musim buah kali ini. Syok sangat sebab dapat merasai kurniaan Ilahi yang tak terhingga. NikmatNya bertandang tak henti-henti ibarat hujan lebat. Apa yang bestnya lagi bila berada di rumah asal buka pintu ada jer rezeki atas tangga ibarat rezeki jatuh dari langit pulak,hahaha..Hingga kami sekeluarga tak mampu nak habiskan semuanya,apa lagi bahagi pada jiran lah jawabnya. Hidup berjiran tak boleh pentingkan diri sendiri,jiran di sebelah pun ibarat keluarga kita. Teringat pulak masa saya masih kecil ketika kami tinggal di sebuah perumahan di Selayang,Selangor. Kami hidup berjiran dengan pelbagai bangsa Cina,India,orang Kemboja pun ada. Semuanya saling hormat-menghormati dan sentiasa memuliakan jiran tak kira bangsa. Kadang,jiran sebelah akan menghulurkan buah tangan buat kami dan sebaliknya. Walaupun saya masih kecil lagi ketika itu namun takkan dilupakan detik-detik yang sungguh harmoni bagi saya. Kini,hidup dalam suasana kampung tak kurang harmoninya kerana bukan setakat jiran sebelah jer tapi jiran sekampung saling bantu-membantu,bertukar buah-buahan di musim buah ini. Bila berada di kolej,keadaan masih sama. Buah-buahan boleh kata setiap sudut ada hinggakan kitorang tak larat nak makan. Musim ini banyak mengeratkan hubungan persahabatan kerana pada detik inilah teman-temanku berpakat mengait buah di pokok,ada juga yang menjemput bertandang ke rumah semata-mata untuk makan buah-buahan yang melimpah rezekinya..Alangkah hebat perancangan Allah kan,hanya dengan 1 musim pelbagai detik indah tercipta. Baru-baru ini,teman-temanku yang baru pulang dari oral SPM masih sempat lagi bertandang ke rumah temanku yang sorang lagi untuk menikmati buah-buahan hasil tanaman keluarganya di belakang rumah. Hhhm,tapi sayangnya musim ini dah nak berlalu pergi dan nampaknya kena tunggu tahun depan pulak untuk mencipta detik-detik manis bersama buah-buahan,hehe..sedihnya!!!!

Batas Pergaulan



Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:


33_53

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]


Kalimah mataa’an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran, mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan, tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia dengan perantaraan HIJAB.

Hijab itu tafsirannya luas.

Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.


Apakah tujuannya semua itu?

Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.

Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith, ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’.

Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima sms pada jam 5 pagi tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.

Iaitulah soal HATI!

33_53-i

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”

Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?

Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.

Mulut kalian tidak menyebut.

Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.

Tubuh kamu tidak menampakkan calar.

Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu.

Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.

Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik Dia.

Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.

Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.

Wednesday, July 15, 2009

Kejar Dunia Untuk Akhirat



Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

" Sesiapa yang mengejar dunia dengan tujuan mengelak daripada meminta-minta dan dengan tujuan menjaga anak isterinya daripada memakan harta curi,harta samun dan sebagainya,dan dengan tujuan menjaga hubungan dengan jiran tetangga,dia akan bertemu dengan Allah di akhirat kelak dengan keadaan wajah yang berseri-seri umpama bulan purnama".

Pasti sidang pembaca hairan melihat tajuk yang telah saya utarakan (Kejar Dunia Untuk Akhirat),tapi sekiranya kalian memahami hadis di atas pasti tidak hairan. Hadis tersebut mengajak kita mencari rezeki di atas muka bumi yang sementara dan melalaikan penghuni di dalamnya dengan cara yang telah disyariatkan. Tidak mengapa sekiranya kita ingin mengejar kenikmatan dunia namun hendaklah disertakan dengan niat yang suci iaitu lillahi Ta'ala dan ke arah kebaikan.

Kalau dilihat dari sudut kezuhudan ( kesederhanaan hidup ) sebenarnya juga tidak salah untuk kita menghimpun harta selagi harta tersebut dimanfaatkan dengan sebaiknya umpama memberi sedekah kepada yang memerlukan,menyumbangkan harta tersebut pada jalan Allah dan banyak lagi. Pernah suatu ketika dahulu seorang insan yang sentiasa ingin mencari ilmu bertemu dengan seorang guru yang dikatakan terlalu zuhud. Dengan perasaan berkobar-kobar beliau pergi berjumpa sheikh tersebut. Sesampainya beliau di depan pintu bait sheikh tersebut didapatinya sheikh yang dikatakan zuhud itu tampil dengan penampilan yang amat memeranjatkan. Pada fahaman beliau,seseorang yang zuhud tentunya berpakaian yang compang-camping. Oleh kerana beliau berfahaman sedemikian,perasaan terkejut dipamerkan sebaik melihat kelibat sheikh tersebut yang berpenampilan cukup mewah. Beliau tidak percaya dengan apa yang diperkatakan orang bahawa sheikh tersebut seorang yang zuhud,lalu beliau pulang dan mendapatkan kepastian. Setelah diterangkan hakikat zuhud yang sebenar,barulah beliau faham bahawa zuhud bukanlah meninggalkan segala-galanya sehingga mendatangkan mudharat. Hakikat zuhud yang sebenarnya ialah tidak terpedaya dengan harta dunia bahkan harta yang diperolehi disalurkan pada jalan yang sebenarnya. Itulah sebenarnya yang telah dilakukan oleh sheikh tersebut.

Bukan seperti yang berlaku kini,timbul haru-biru di kalangan orang ibadah tentang maksud zuhud. Ada antara ahli-ahli ibadah yang menyempitkan fahaman zuhud sehingga mereka berpendapat seolah-olah zuhud yang dituntut oleh Islam ialah membuang terus keperluan dunia dan menganggap segala yang ada dalam masyarakat hari ini sebagai dosa-dosa yang perlu dihindarkan. Ada ahli ibadah yang berhenti bekerja daripada jawatan yang tinggi, memberhentikan persekolahan anak-anak, mengahwinkan anak-anak gadis yang masih ingin belajar dan masih dalam usia belasan tahun dan lain-lain. Mereka menganggap hanya berzikir, membaca Al Quran, mendirikan solat itu sahaja ibadah yang paling dituntut, manakala erti kehidupan zuhud itu dimaksudkan sebagai hidup semiskin-miskinnya.

Allah telah mencipta dunia dengan terkandung di dalamnya faedah dan terkandung juga keburukan untuk menguji hambaNya. Jika kita pandai menggunakan nikmat yang Allah kurniakan pada kita dengan sebaiknya maka ganjaran yang baik menantinya di akhirat kelak. Mengapa perlu mencipta alasan untuk kita melakukan maksiat seperti mencuri,melibatkan diri dalam rasuah dan sebagainya hanya kerana ingin harta dengan cara pintas sedangkan di sana terbentang luas nikmat Allah yang dapat kita perolehi dengan cara yang halal. Akhir-akhir ini,banyak terpapar di dada televisyen mahupun akhbar melaporkan penyelewengan kuasa di kalangan pemerintah negara hanya semata-mata ingin mengejar nikmat dunia untuk kegunaan dunia. Mengapa manusia suka memilih jalan singkat untuk mendapatkan sesuatu? Ada pepatah mengatakan biar lambat asal selamat,tapi mengapa kita tidak melestarikan pepatah tersebut (biar lambar asal halal) dalam kita mencari rezeki? Oleh itu,marilah kita sama-sama berusaha memansuhkan pencarian rezeki dengan cara yang tidak disyariatkan Islam supaya hidup kita dan keluarga kita mendapat kebahagian di dunia mahupun di akhirat. Ketahuilah,pencarian rezeki dengan cara yang haram hanya mengundang kebinasaan pada diri tidak kira di dunia ataupun di akhirat.