Wednesday, July 15, 2009

Kejar Dunia Untuk Akhirat



Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

" Sesiapa yang mengejar dunia dengan tujuan mengelak daripada meminta-minta dan dengan tujuan menjaga anak isterinya daripada memakan harta curi,harta samun dan sebagainya,dan dengan tujuan menjaga hubungan dengan jiran tetangga,dia akan bertemu dengan Allah di akhirat kelak dengan keadaan wajah yang berseri-seri umpama bulan purnama".

Pasti sidang pembaca hairan melihat tajuk yang telah saya utarakan (Kejar Dunia Untuk Akhirat),tapi sekiranya kalian memahami hadis di atas pasti tidak hairan. Hadis tersebut mengajak kita mencari rezeki di atas muka bumi yang sementara dan melalaikan penghuni di dalamnya dengan cara yang telah disyariatkan. Tidak mengapa sekiranya kita ingin mengejar kenikmatan dunia namun hendaklah disertakan dengan niat yang suci iaitu lillahi Ta'ala dan ke arah kebaikan.

Kalau dilihat dari sudut kezuhudan ( kesederhanaan hidup ) sebenarnya juga tidak salah untuk kita menghimpun harta selagi harta tersebut dimanfaatkan dengan sebaiknya umpama memberi sedekah kepada yang memerlukan,menyumbangkan harta tersebut pada jalan Allah dan banyak lagi. Pernah suatu ketika dahulu seorang insan yang sentiasa ingin mencari ilmu bertemu dengan seorang guru yang dikatakan terlalu zuhud. Dengan perasaan berkobar-kobar beliau pergi berjumpa sheikh tersebut. Sesampainya beliau di depan pintu bait sheikh tersebut didapatinya sheikh yang dikatakan zuhud itu tampil dengan penampilan yang amat memeranjatkan. Pada fahaman beliau,seseorang yang zuhud tentunya berpakaian yang compang-camping. Oleh kerana beliau berfahaman sedemikian,perasaan terkejut dipamerkan sebaik melihat kelibat sheikh tersebut yang berpenampilan cukup mewah. Beliau tidak percaya dengan apa yang diperkatakan orang bahawa sheikh tersebut seorang yang zuhud,lalu beliau pulang dan mendapatkan kepastian. Setelah diterangkan hakikat zuhud yang sebenar,barulah beliau faham bahawa zuhud bukanlah meninggalkan segala-galanya sehingga mendatangkan mudharat. Hakikat zuhud yang sebenarnya ialah tidak terpedaya dengan harta dunia bahkan harta yang diperolehi disalurkan pada jalan yang sebenarnya. Itulah sebenarnya yang telah dilakukan oleh sheikh tersebut.

Bukan seperti yang berlaku kini,timbul haru-biru di kalangan orang ibadah tentang maksud zuhud. Ada antara ahli-ahli ibadah yang menyempitkan fahaman zuhud sehingga mereka berpendapat seolah-olah zuhud yang dituntut oleh Islam ialah membuang terus keperluan dunia dan menganggap segala yang ada dalam masyarakat hari ini sebagai dosa-dosa yang perlu dihindarkan. Ada ahli ibadah yang berhenti bekerja daripada jawatan yang tinggi, memberhentikan persekolahan anak-anak, mengahwinkan anak-anak gadis yang masih ingin belajar dan masih dalam usia belasan tahun dan lain-lain. Mereka menganggap hanya berzikir, membaca Al Quran, mendirikan solat itu sahaja ibadah yang paling dituntut, manakala erti kehidupan zuhud itu dimaksudkan sebagai hidup semiskin-miskinnya.

Allah telah mencipta dunia dengan terkandung di dalamnya faedah dan terkandung juga keburukan untuk menguji hambaNya. Jika kita pandai menggunakan nikmat yang Allah kurniakan pada kita dengan sebaiknya maka ganjaran yang baik menantinya di akhirat kelak. Mengapa perlu mencipta alasan untuk kita melakukan maksiat seperti mencuri,melibatkan diri dalam rasuah dan sebagainya hanya kerana ingin harta dengan cara pintas sedangkan di sana terbentang luas nikmat Allah yang dapat kita perolehi dengan cara yang halal. Akhir-akhir ini,banyak terpapar di dada televisyen mahupun akhbar melaporkan penyelewengan kuasa di kalangan pemerintah negara hanya semata-mata ingin mengejar nikmat dunia untuk kegunaan dunia. Mengapa manusia suka memilih jalan singkat untuk mendapatkan sesuatu? Ada pepatah mengatakan biar lambat asal selamat,tapi mengapa kita tidak melestarikan pepatah tersebut (biar lambar asal halal) dalam kita mencari rezeki? Oleh itu,marilah kita sama-sama berusaha memansuhkan pencarian rezeki dengan cara yang tidak disyariatkan Islam supaya hidup kita dan keluarga kita mendapat kebahagian di dunia mahupun di akhirat. Ketahuilah,pencarian rezeki dengan cara yang haram hanya mengundang kebinasaan pada diri tidak kira di dunia ataupun di akhirat.

No comments:

Post a Comment