Thursday, February 24, 2011

Fenomena pemakaian muslimah

Alhamdulillah dipanjatkan kepada Ilahi kerana di saat ini masih dikurniakan kesempatan untuk saya berbicara di sini. Saya hanya ingin meluahkan beberapa perkara sahaja di sini. Menyebut mengenai pemakaian muslimah kini memang dah amat jauh terpesong dari maksud pemakaian yang diajar Islam itu sendiri. Bahkan kalau kita lihat bagaimana media massa di Malaysia sendiri yang kononnya mengisytiharkan sebuah negara Islam masih tidak mampu mempamerkan cara pemakaian yang mengikut syara'. Adakah sepatutnya seorang yang tidak memahami Islam diminta mengupas tentang pemakaian muslimah dan diminta mereka pakaian yang kononnya digelar busana muslimah? Sungguh tidak patut kan? Tetapi itulah yang banyak berlaku sekarang tidak kira di saluran televisyen mana sekalipun.

Tetapi mengapa yerk,setiap kali ingin menunaikan solat pasti bertutup litup? Tidakkah mereka-mereka yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna tidak berfikir semua ini? Asal nak solat sahaja pasti mencari-cari telekung. Adakah telekung itu suatu kemestian untuk kita tunaikan solat? Adakah ia termasuk dalam syarat sah solat? Pasti jawapannya tidak bukan? Tetapi kenapa kita tidak berfikir suatu cara yang Islam telah ajarkan supaya ibadat yang akan kita lakukan itu menjadi senang? Iaitu menutup aurat dengan sempurna.

Saya teringin menyentuh permasalahan ini kerana setiap kali saya singgah ke tempat-tempat public dan ingin menunaikan solat, pasti akan bertemu dengan mereka-mereka yang kurang menutup aurat. Terkadang hairan melihat orang-orang seperti mereka rupanya bersolat juga. Mana tidak hairannya,dengan pusat terkeluar,rambut berwarna dan sebagainya mari menghadap Tuhan. Tidakkah mereka merasa malu dengan perbuatan mereka? Melihat pemakaian mereka yang membuat mereka perlu bersusah payah untuk menunaikan solat, saya merasa bangga dengan pemakaian saya. Ini kerana, pemakaian yang diajar Islam sebenarnya sudah memadai untuk menunaikan solat,tanpa perlu bersusah payah memilih telekung yang sesuai (yang disediakan di mana-mana surau) atau membawa telekung sendiri. Sungguh mudah kan Islam ajar kita?

Sebenarnya telekung ini kebiasaannya orang Asia sahaja yang pakai. Jika kita perhatikan di negara-negara tanah arab atau Eropah,mereka tidak menggunakan telekung untuk solat cukup dengan pakaian yang mereka pakai. Sebab itulah, saya lebih gemar bersolat tanpa menggunakan telekung ketika bermusafir atau berjalan ke mana-mana. Dengan berbuat demikian, saya berharap mereka-mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna berfikir sejenak tentang "Ad-diinu yusrun". Dan supaya mereka berfikir bahawa Allah itu bukannya melihat kita ketika solat sahaja tetapi bila-bila masa dan di mana sahaja kita berada. Apabila kita berfikir demikian barulah tidak berlaku istilah "tutup aurat masa solat jer,habis solat terputuslah hubungan dengan Allah".

Sebelum terlupa,ada satu lagi fenomena pemakaian yang bercanggah dengan konsep menutup aurat iaitu memakai pakaian yang menampakkan bentuk badan. Sebenarnya dalam hal ini,istilah menutup aurat tidak patut digunakan tetapi apa yang lebih tepat lagi ialah membungkus aurat. Mengapa saya katakan demikian? Perkataan menutup ialah kita melindungi apa yang terkandung di sebaliknya. Berbeza dengan membungkus yang membawa maksud kita melindungi rupa sesuatu dan menzahirkan bentuknya. Adakah pakaian tersebut boleh dijadikan pakaian luaran untuk kita bersolat? Mengapa ketika solat,pakaian kita berbeza dengan ketika luar solat? Adakah berbeza perintah menutup aurat ketika solat dan ketika tidak bersolat? Marilah sama-sama kita merenung kembali ayat yang diperintahkan supaya kita menutup aurat dalam Surah An-Nur ayat 31. Janganlah kita beranggapan Islam yang kita anuti ini memadai dengan mengucap dua kalimah shahadah tanpa kita menghiraukan perintah Allah s.w.t dan mengamalkannya. Sesungguhnya Islam itu indah apabila dihayati dan diamali.

1 comment: