Friday, October 29, 2010

Antara Masa dan Tanggungjawab

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna ada menyebut,

  "الوقت هو الحياة، والواجبات أكثر من اللأوقات"
      
      Maksudnya : Waktu itu adalah kehidupan, dan tanggungjawab itu lebih banyak dari waktu.
Sememangnya benarlah apa yang diungkapkan oleh pimpinan ikhwanul muslimin ini. Pada hakikatnya manusia tak dapat lari dari dipertanggungjawabkan. Namun,tanggungjawab tersebut Allah berikan mengikut kemampuan masing-masing. Jadi, tidak seharusnya kita menolak takdir yang ditetapkan kepada kita kerana Allah telah berfirman :

   "لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا"
      
       Maksudnya : Allah tidak akan memberikan tanggungjawab kepada seseorang melainkan dengan kemampuannya.
      Oleh itu, tanggungjawab yang diberikan seharusnya diterima dengan redha dan disertai kalimah istighfar kepada Allah. Terkadang, kelebihan yang ada dalam diri seseorang tidak dapat disedari kecuali setelah diberi peluang untuk membuktikannya. Maka, adalah sebaiknya seseorang itu cuba melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebelum mengatakan tidak mampu. Mungkin boleh jadi, suatu saat nanti bakat kepimpinan itu akan terserlah sedikit demi sedikit.

      Namun, satu perkara yang terkadang menjadi tabiat buruk dalam diri pimpinan yang terlibat dengan organisasi ialah dari sudut ketepatan waktu. Sepanjang penglibatan saya dalam berpersatuan,ketepatan waktu terlalu penting bagi kelancaran sesuatu perancangan. Pun begitu masih ramai pemimpin-pemimpin persatuan yang tidak menitik berat hal ini. Akibatnya,perancangan selalu terbabas dek kerana keterbatasan waktu untuk merancang. Lebih-lebih lagi di peringkat mahasiswa yang di bahunya tergalas 2 tanggungjawab yang besar iaitu sebagai pelajar dan juga sebagai pimpinan. Memang sukar untuk membahagikan antara 2 waktu,waktu untuk study dan waktu untuk berpersatuan. Jika tersilap langkah boleh memberi kesan terhadap pembelajaran. Akan tetapi, tidak semua seperti demikian. Kerana itu,penjagaan waktu teramat mustahak.

      Bagi saya,berpersatuan bukanlah faktor prestasi akademik merosot. Tetapi,kesalahan mengatur waktu yang menjadi permasalannya. Pengalaman saya dalam persatuan terutamanya dalam mengurus perihal waktu terlalu memedihkan hati. Pelbagai kerenah perlu dihadapi sebelum sesuatu mesyuarat mahupun program dilaksanakan. Alasan yang terkadang boleh menyebabkan hilang kesabaran serta mampu menitiskan air mata. Kadang-kadang boleh menimbulkan perasaan ingin membalas kelewatan yang dilakukan oleh ahli yang lain sehingga menyebabkan kelewatan yang lebih parah. Hakikatnya,jika masing-masing bersabar dan berusaha membaiki kelewatan tersebut,maka dengan izin Allah perancangan yang diaturkan akan berjalan lancar.

      Sedar atau tidak bahawa masa yang diperuntukkan itu sebenarnya adalah suatu amanah yang harus ditunaikan dengan tepat. Bayangkan jika kelewatan yang kita lakukan tanpa uzur syar'ie dibalas dengan dosa. Tidakkah kita ini termasuk di kalangan orang-orang yang munafik kerana memungkiri janji? Kalau masing-masing terus memikirkan hak masing-masing dan bukannya sumbangan terhadap perjuangan Islam, sudah tentu Islam tidak akan mampu tertegak di bumi ini.

      Maka atas dasar untuk melihat Islam tertegak dengan cepat,semua ahli organisasi dan umat Islam amnya harus menitikberatkan penjagaan masa. Semuanya ini supaya pihak musuh gerun apabila melihat disiplin umat Islam sesuai dengan firman Allah :

وَالْعَصْرِ. إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ .

      Alangkah hebatnya umat Islam seandainya sentiasa berpegang dengan kalimah-kalimah Allah yang cukup sempurna ini. Sama-samalah kita hitung kembali diri ini samada kita tergolong di kalangan orang-orang yang beramal soleh,berpesan-pesan dengan kebenaran dan orang-orang yang berpesan-pesan dengan kesabaran.